KOTA SAMARAHAN - Seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun menanggung kerugian besar berjumlah RM120,233 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Bany anak William, mengesahkan mangsa tertarik dengan iklan di Facebook sebelum diarahkan berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp. Mangsa kemudiannya diperkenalkan kepada satu laman web dan diberikan tugasan dengan janji komisen yang lumayan.
Terpedaya dengan taktik tersebut, mangsa telah melakukan 16 transaksi pembayaran ke dalam 12 akaun bank yang berbeza dalam tempoh singkat.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat, dan denda.
Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran kerja yang menjanjikan keuntungan luar biasa di media sosial.
Pengguna digesa menyemak nombor akaun mencurigakan melalui portal Semak Mule dan segera menghubungi talian 997 (NSRC) jika menyedari diri telah ditipu.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #KotaSamarahan #ScamAlert #PDRMSarawak
Back