MIRI – Pelajar Sarawak yang berminat melanjutkan pelajaran melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) berpeluang mendapatkan maklumat dan pendedahan secara terus sepanjang Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri yang berlangsung di Stadium Miri bermula hari ini hingga Ahad.
Yayasan Sarawak membuka reruai khas bagi memberi penerangan berkaitan FTES yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak, termasuk penjelasan mengenai syarat kelayakan serta proses permohonan skim tersebut kepada pelajar dan ibu bapa yang hadir.
Turut serta sepanjang penganjuran SKS Bahagian Miri ialah Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin Malaysia yang berkongsi maklumat berkaitan peluang pengajian tinggi serta laluan pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar di negeri ini.
Menerusi SKS, pelajar sekolah dan lepasan SPM di Miri serta kawasan sekitar bukan sahaja dapat memperoleh maklumat secara langsung, malah berpeluang berinteraksi dengan wakil institusi pengajian tinggi dan agensi berkaitan.
FTES merupakan inisiatif kerajaan Sarawak yang bukan sahaja menanggung yuran pengajian pelajar yang layak, tetapi turut menyediakan elaun bulanan bagi membantu kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
Skim ini memberi fokus kepada bidang pengajian kritikal seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perubatan, undang-undang, perakaunan, kewangan serta psikologi, selaras dengan keperluan pembangunan bakat di Sarawak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back