MIRI – Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri menjadi platform penting dalam membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pencari kerja apabila JobSarawak bersama Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU) di bawah Jabatan Premier Sarawak menganjurkan sesi temu duga terbuka melibatkan tiga syarikat utama.
Tiga syarikat terbabit ialah Piasau Concrete Sdn Bhd, SOCOE Sdn Bhd (SOCOE) dan Sarawak Oil Palms Berhad, yang kesemuanya menggunakan platform JobSarawak sebagai saluran utama pengambilan tenaga kerja.
Menurut pakar platform JobSarawak, Noor Asriq Bolhassan, inisiatif ini merupakan usaha kerajaan Sarawak melalui ILMU untuk memperkukuhkan sistem pengambilan pekerja berpusat yang lebih cekap dan mudah diakses oleh rakyat di seluruh negeri.
Beliau ketika ditemui CATS FM di Stadium Miri hari ini berkata sesi temu duga terbuka ini berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang yang memberi peluang kepada pencari kerja untuk berjumpa terus dengan majikan.
Secara keseluruhan, lebih 100 peluang pekerjaan ditawarkan oleh tiga syarikat berkenaan yang merangkumi pelbagai bidang dan posisi.
Beliau turut menggalakkan orang ramai, khususnya pencari kerja di Miri dan kawasan sekitarnya, untuk hadir ke sesi temu duga tersebut yang diadakan sepanjang tiga hari penganjuran program SKS di Stadium Miri.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa JobSarawak turut menawarkan kira-kira 10,000 kekosongan jawatan di seluruh negeri Sarawak, merangkumi pelbagai sektor pekerjaan dari Kuching hingga ke Lawas dan Limbang.
Justeru ujarnya, bagi pencari kerja yang tidak berkesempatan hadir, mereka boleh mendaftar dan menyemak kekosongan jawatan melalui job.sarawak.gov.my.
Menurut beliau lagi, JobSarawak akan terus hadir di semua 12 lokasi penganjuran program Sarawakku Sayang di seluruh negeri.
Inisiatif ini diharap dapat memperluaskan akses peluang pekerjaan serta mempercepatkan proses padanan antara majikan dan pencari kerja di seluruh Sarawak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back