KUCHING - Tokoh politik veteran dan bekas Menteri Sarawak, Dato Sri Bo’ Tajang Laing, dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 100 tahun, malam semalam.
Berita duka tersebut dikongsikan oleh anak perempuannya, Lohong Tajang, menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Mendiang merupakan tokoh bersejarah yang melakar profil penting dalam landas politik negeri sebagai anak Orang Ulu pertama dilantik sebagai Menteri penuh dalam Kabinet pertama Sarawak pada tahun 1963.
Dilahirkan pada tahun 1926, mendiang bukan sahaja saksi kepada pembentukan Malaysia, malah merupakan antara penggerak utama dalam perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sepanjang karier politiknya sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, mendiang telah menyumbang khidmat bakti yang signifikan dalam pembangunan luar bandar serta memperkukuh perpaduan antara kaum di Sarawak sepanjang era 1960-an hingga 1970-an.
Senator Pele Peter Tinggom, yang juga cucu saudara mendiang, menyifatkan pemergian Tajang sebagai kehilangan besar buat negara.
"Beliau adalah perintis yang membawa suara komuniti pedalaman ke peringkat tertinggi pentadbiran negeri," katanya.
Mendiang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100 pada 14 Februari lalu.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #TokohSarawak #MA63 #OrangUlu #RestInPeace
Back