KUCHING – Polis Sarawak memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah kekerasan, supaya segera menghentikan kegiatan mereka, atau berdepan tindakan tegas undang-undang.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan kongsi gelap yang masih aktif.
Ia termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Kenyataan itu dibuat susulan penahanan 21 lelaki dalam Ops Pusak Merah yang dijalankan baru-baru ini di Sarawak.
Menurut beliau, operasi tersebut menyasarkan kumpulan kongsi gelap yang dikesan aktif melakukan jenayah kekerasan di sekitar Kota Samarahan, Kuching, Simunjan dan Padawan sejak tahun 2024.
Kesemua 21 suspek itu kini ditahan reman di bawah SOSMA sejak 21 April lalu.
Selepas ini, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi berkenaan akan diperluaskan dengan sasaran terhadap mana-mana kumpulan kongsi gelap yang masih beroperasi di negeri ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Kuching, hari ini.
Back