KUCHING – Seramai 44 warga polis yang terdiri daripada pegawai dan anggota lain-lain pangkat, diraikan atas kecemerlangan khidmat masing-masing dalam Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pagi tadi.
Majlis yang berlangsung dengan penuh tertib itu menyaksikan setiap penerima dianugerahkan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan prestasi cemerlang mereka dalam pelbagai aspek tugasan.
Pengiktirafan tersebut merangkumi penglibatan dalam operasi, kejayaan tangkapan serta sumbangan lain yang memberi impak kepada keselamatan awam.
Penyampaian sijil kepada para penerima telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa komitmen dan dedikasi tanpa berbelah bahagi dalam melaksanakan amanah merupakan teras utama perkhidmatan pasukan polis.
Katanya, tanggungjawab polis bukan sekadar menjalankan tugas, malah memastikan setiap rakyat berasa dilindungi dan dihargai.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga pasukan agar terus memperkukuh iltizam dalam berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, di samping menjunjung prinsip integriti, keadilan dan ketelusan dalam setiap tindakan.
Menurutnya, usaha berterusan itu amat penting bagi memastikan Sarawak kekal aman, stabil dan sejahtera.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back