KUCHING - Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) akan memulakan tinjauan dari rumah ke rumah minggu hadapan bagi mendapatkan bancian lebih tepat mengenai jumlah anjing dan kucing peliharaan, sebagai langkah memperkukuh perancangan program kesihatan dan kawalan populasi haiwan di negeri ini.
Pengerusinya, Datin Sri Dona Drury Wee berkata, inisiatif tersebut penting bagi memastikan strategi vaksinasi rabies dan program pemandulan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Katanya, selain mengumpul data jumlah anjing, pihaknya juga akan merekodkan bilangan kucing peliharaan bagi membantu merangka pelaksanaan program pemandulan pada masa hadapan.
Menurutnya, data itu amat penting supaya pihaknya dapat merancang dengan lebih sistematik, khususnya dalam menangani isu pembiakan tidak terkawal yang menjadi punca utama peningkatan haiwan terbiar.
Datin Sri Dona berkata demikian kepada pemberita semasa program pengagihan vaksin rabies secara oral (ORV) di pasar basah Bintawa, hari ini.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa SSPCA kini sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan mengenai pelaksanaan program pemandulan yang ditaja kerajaan negeri, yang dijangka bermula di Kuching sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
Mengulas mengenai perkembangan semasa program vaksinasi rabies, Datin Sri Dona berkata setakat ini sebanyak kira-kira 4,500 vaksin telah diberikan dalam tempoh dua minggu, melibatkan vaksin oral dan suntikan.
Beliau turut menjelaskan bahawa vaksin suntikan masih menjadi pilihan utama bagi anjing yang boleh dikendalikan kerana hanya vaksin tersebut melayakkan pemilik menerima sijil vaksinasi rasmi.
Sementara itu, vaksin rabies oral pula diberikan kepada anjing yang sukar dikendalikan, termasuk anjing liar dan anjing di kawasan kilang.
Dalam perkembangan berkaitan, SSPCA kini meneruskan usaha vaksinasi di kawasan Bintawa dan Pending, sambil merancang untuk mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Putrajaya bagi memperluaskan program tersebut ke lebih banyak kawasan.
Datin Sri Dona turut mengingatkan pemilik haiwan peliharaan serta pemilik premis perindustrian agar memastikan semua anjing mereka divaksin dan dimandulkan.
Jelasnya, pemandulan adalah satu-satunya kaedah berkesan untuk mengawal populasi haiwan terbiar dalam jangka panjang.
Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back