PADAWAN - Tindakan mementingkan diri seorang pemandu kenderaan jenis Perodua Ativa yang memotong di garisan berkembar membawa padah apabila individu tersebut berjaya dikesan dan dikenakan saman oleh pihak polis, baru-baru ini.
Kejadian yang berlaku di Jalan Kampung Segedup itu tular menerusi sebuah rakaman video berdurasi 10 saat di media sosial, memaparkan aksi berbahaya kenderaan berkenaan yang boleh mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.
Bertindak atas maklumat tersebut, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) IPD Padawan telah menjalankan risikan sebelum berjaya mengesan pemandu terbabit di kediamannya pada 13 April lalu.
Hasil siasatan mendapati pemandu berkenaan mengakui kesalahannya dan satu saman PDRM (K) 257 di bawah LN 167/59-012(3)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dikeluarkan atas kesalahan memotong di garisan berkembar secara berbahaya.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak dalam satu kenyataan menegaskan agar semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak mempertaruhkan nyawa orang lain semata-mata ingin cepat sampai ke destinasi.
Pihak polis turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas penyaluran maklumat yang membantu menjaga keselamatan jalan raya.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDPadawan #JSPTSarawak
Back