MIRI - Majlis Bandaraya Miri (MBM) mempergiat tindakan tegas terhadap aktiviti pemasangan iklan tanpa permit dengan menurunkan sebanyak 3,060 bahan iklan haram, khususnya melibatkan peminjam wang tidak berlesen atau 'along' dalam satu operasi penguatkuasaan berterusan.
MBM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan tersebut dilaksanakan oleh Seksyen Penguatkuasa MBM selaras dengan Advertisement Bylaw 2012.
Undang-undang kecil tersebut melarang sebarang pemasangan bahan iklan di kawasan awam tanpa kelulusan atau permit sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kebanyakan iklan yang diturunkan dikesan dipasang di lokasi awam secara haram. Aktiviti ini bukan sahaja menjejaskan imej dan keindahan bandar raya, malah membawa implikasi negatif terhadap keselamatan serta kesejahteraan masyarakat," jelas kenyataan tersebut.
Pihak MBM menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan ini akan diteruskan secara berkala bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya atau berurusan dengan peminjam wang tidak berlesen yang menggunakan kaedah iklan haram sebagai modus operandi mereka.
MBM turut menyeru kerjasama warga kota untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pemasangan iklan haram bagi memastikan kebersihan dan keselamatan bandar raya Miri sentiasa terpelihara.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #MBMiri #BandarayaMiri #MiriClean #SayangiMiri
Back