MUKAH - Dua wanita warga tempatan dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan wang syarikat berjumlah RM29,480.60 di Mahkamah Sesyen Mukah, Selasa pagi 21 April.
Tertuduh, Maniisha Mila Anak Jilum dan Kusmawati Binti Udin, masing-masing berusia 26 tahun, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Musyiri Bin Peet.
Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai kerani timbang sawit di sebuah syarikat di Jalan Matadeng-Balingian telah menyeleweng wang syarikat dengan menghasilkan 26 tiket timbang dan baucar pembayaran palsu.
Selain itu, audit dalaman syarikat turut mengesan kehilangan wang dalam akaun petty cash bagi tempoh Januari hingga Mac 2026.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Bin Alias berkata, laporan polis dibuat oleh pengarah syarikat pada 4 April lalu sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Mukah menahan kedua-dua suspek, pada Isnin 20 April.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi setiap pertuduhan. Hukuman diperintahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkapan, menjadikan tempoh keseluruhan pemenjaraan adalah selama tiga tahun.
Kes didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMMukah #JenayahKomersil
Back