KUCHING - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak melakar kejayaan signifikan apabila mencatatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM32.23 juta menerusi 27 siri operasi yang dijalankan di seluruh negeri sepanjang tempoh 1 hingga 20 April ini.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai memaklumkan bahawa kejayaan besar tersebut dicapai hasil pelaksanaan pelbagai operasi khas antaranya Op Taring Bravo, Batas/Awas, Chiller, Mitra, Libas, dan Op Hazard 3.0. Operasi-operasi ini dilaksanakan dengan tumpuan di kawasan strategik termasuk Kuching, Bintulu, Sibu, Sri Aman, dan Miri.
Menurut beliau, Op Taring Chiller muncul sebagai penyumbang terbesar kepada nilai rampasan keseluruhan dengan jumlah RM21.3 juta, diikuti oleh Op Taring Bravo sebanyak RM7.36 juta.
Antara kes paling menonjol melibatkan rampasan lebih 300,000 kilogram pelbagai produk sejuk beku tanpa permit yang dianggarkan bernilai RM15.8 juta, termasuk penyitaan stor serta peralatan pemprosesan.
Selain barangan sejuk beku, siri operasi tersebut turut berjaya mematahkan pelbagai aktiviti jenayah lain seperti penyelewengan minyak diesel dan barang subsidi, penyeludupan minuman keras serta rokok, dan aktiviti pembalakan haram.
Pihak PGA juga bertindak tegas menumpaskan jenayah alam sekitar melibatkan pemprosesan air ketum serta pemprosesan e-waste tanpa lesen yang sah.
Dalam pada itu, SAC Lim turut mengulas mengenai pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang bermula sejak Mac lalu.
Sehingga kini, sebanyak 264 pemeriksaan telah dilakukan yang membawa kepada penemuan 31 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM13.5 juta serta penahanan seramai 45 individu.
Kesemua hasil rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Alam Sekitar, serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut.
Beliau menegaskan bahawa PGA akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara agresif bagi mengekang sebarang bentuk jenayah rentas sempadan tanpa kompromi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PGASarawak #OpTaring #PDRM
Back