BAU - Seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan pihak polis selepas didapati positif dadah dalam satu pemeriksaan di tepi Jalan Sebuku, Selasa pagi 21 April.
Ketua Polis Daerah Bau, Pemangku Superintenden Mohd Haide A. Rahman dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, tangkapan dilakukan kira-kira jam 10.20 pagi oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.
"Suspek ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek mengesahkan beliau positif dadah," jelas beliau.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihak PDRM Bau menegaskan komitmen mereka untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah disarankan untuk menyalurkan maklumat melalui talian Hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMBau #OpsTapis
Back