KUCHING – Pusat Sehenti Intervensi Awal Sarawak (OSEIC) akan diperluaskan ke Samarahan, yang bakal dilengkapi pelbagai kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, projek itu dirancang sebagai sebahagian daripada komponen di bawah Kompleks Komuniti Berkeperluan Khas (SNCC).
Menurut beliau, lokasi projek tersebut telah dikenal pasti, manakala perinciannya akan dibincangkan dalam mesyuarat peringkat Setiausaha Tetap kementerian esok.
Katanya, kemudahan yang disediakan merangkumi keperluan individu berkeperluan khas sejak usia kanak-kanak hingga ke peringkat akhir hayat.
OSEIC di Samarahan itu kelak bukan sahaja menyediakan perkhidmatan intervensi awal untuk kanak-kanak, malah turut menawarkan latihan kemahiran dan kemudahan sukan.
Selain itu, kemudahan tempat tinggal juga akan disediakan khusus bagi individu OKU yang tidak mempunyai waris serta memerlukan bantuan dan penjagaan.
Selain Samarahan, Miri juga dirancang untuk mempunyai kemudahan yang sama, namun ia masih dalam peringkat perancangan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sedidik dan ToyEight di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back