KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak berjaya merampas 650 liter diesel yang disyaki cuba diseleweng dalam satu operasi di sebuah stesen minyak di bandar raya ini, Isnin petang 20 April.
Pengarah KPDN Sarawak, Mathew Dominic Barin memaklumkan bahawa rampasan dilakukan kira-kira jam 2.30 petang selepas anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas pemantauan statik mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan rapi ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan bahan api berkenaan yang disimpan di dalam dua tangki jenis IBC di bahagian belakang lori.
Susulan operasi tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
"Nilai diesel yang dirampas dianggarkan berjumlah RM1,397.50, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan lori dianggarkan mencecah RM23,797.50," katanya dalam satu kenyataan
Kes kini disiasat di bawah Ops 555 mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mathew Dominic turut menegaskan bahawa KPDN Sarawak akan terus mempergiat pemantauan di kawasan panas bagi membanteras aktiviti penyelewengan diesel.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #KPDNSarawak #Ops555
Back