MUKAH - Seorang buruh berusia 29 tahun ditahan pihak polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di tandas sebuah stesen minyak di Selangau, pada Isnin 20 April.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah kira-kira jam 11.00 pagi menerusi operasi 'Ops Tapis'.
"Hasil pemeriksaan ke atas beg sandang hitam milik suspek, pihak polis menjumpai satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 0.36 gram," jelas beliau.
Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut. Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mengesahkan suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 23 April ini bagi membantu melengkapkan siasatan.
Pihak IPD Mukah menegaskan komitmen mereka dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRM #Mukah #OpsTapis #SayNoToDrugs
Back