MIRI - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Miri berjaya menumpaskan sebuah sarang penagihan dadah dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar Simpang Bekenu, Pan Borneo, pada Isnin 20 April.
Operasi yang bermula berdasarkan maklumat risikan itu menyasarkan sebuah lokasi yang dikenal pasti menjadi pusat aktiviti penagihan dadah jenis syabu yang didalangi oleh warga asing.
Dalam serbuan tersebut, pasukan penguatkuasa telah menahan dua lelaki warga Indonesia selepas mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Hasil pemeriksaan rapi di lokasi kejadian menemukan peralatan menghisap dadah dan sebilah senjata tajam.
Kesemua barangan tersebut telah dirampas, manakala kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Pihak JIM menegaskan komitmen mereka untuk terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti jenayah, selain memberi amaran keras kepada majikan serta warga asing agar sentiasa mematuhi undang-undang negara.
Sumber: fb Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #Imigresen #SayNoToDrugs
Back