KUCHING - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak hari ini mengesahkan bahawa pekerja di negeri ini layak menerima dua hari cuti kelepasan am gantian iaitu pada 3 dan 4 Jun 2026.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan kalendar tahun ini menyaksikan pertindihan beberapa cuti umum utama. Hari Wesak jatuh pada 31 Mei, manakala Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong bertindih dengan Hari Gawai pertama pada 1 Jun, diikuti Hari Gawai kedua pada 2 Jun.
Menurut JTK Sarawak, berdasarkan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), 3 Jun (Rabu) menjadi cuti gantian bagi Hari Wesak (sekiranya 31 Mei adalah hari rehat pekerja) manakala 4 Jun (Khamis) menjadi cuti gantian bagi Hari Gawai pertama yang bertindih dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
Walau bagaimanapun, majikan dan pekerja boleh bersetuju untuk mengubah tarikh gantian tersebut ke hari lain melalui persetujuan bersama mengikut subseksyen 104(2) ordinan yang sama.
Bagi pekerja yang diarahkan bertugas pada tarikh-tarikh kelepasan am atau hari gantian tersebut, majikan diwajibkan membayar kadar gaji kerja hari kelepasan am mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakNews #CutiUmum #JabatanTenagaKerja
Back