KUCHING - Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengekalkan tradisi memperkenalkan sekurang-kurangnya lima hingga enam muka baharu pada setiap Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Langkah ini menurut beliau adalah kritikal bagi menjamin kesinambungan kepimpinan dan memastikan masa depan politik Sarawak terus terpelihara melalui proses peralihan yang tersusun serta matang.
“Kita mahukan kesinambungan. Saya sendiri sudah berumur, jadi kita perlu bergerak secara kolektif. Jika ada perbezaan, kita bincang seperti satu keluarga demi masa depan,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen GPS pada Ahad 19 April.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu turut menegaskan bahawa pembaharuan ini termasuk penyertaan lebih ramai calon wanita.
Beliau berharap pemimpin senior yang tidak dicalonkan semula dapat menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka demi memperkukuh gabungan pengalaman dan tenaga baharu dalam parti.
Menyentuh mengenai cadangan pertambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Abang Johari menjelaskan perkara tersebut tertakluk sepenuhnya kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sekiranya diluluskan tepat pada masanya, jumlah kerusi DUN akan meningkat kepada 99 berbanding 82 kerusi sedia ada.
Sumber: fb Sarawak First
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile ##AbangJohari #SarawakMajuMakmur #GPS2026 #PBB
Back