MUKAH - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki warga tempatan di kawasan taman permainan kanak-kanak, Dataran Pehin Setia Raja, pagi tadi (19 April).
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias dalam satu kenyataan media memaklumkan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada orang awam yang sedang melakukan aktiviti riadah kira-kira jam 8.00 pagi.
"Sepasukan polis telah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan. Hasil siasatan awal di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang kesan pergelutan, perbuatan khianat, mahupun unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa yang berusia 26 tahun itu," jelas beliau.
Pihak perubatan dari Hospital Mukah yang turut berada di lokasi telah membuat pengesahan rasmi mengenai kematian mangsa. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Mukah untuk tindakan lanjut, dan kes kini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Susulan kejadian itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan atau menimbulkan kegusaran awam.
Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Mejar Abdul Rahman bin Maerrad di talian 013-8029577 atau melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDMukah #PDRMSarawak
Back