KUCHING — Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu terus diperkukuh sebagai sebuah gabungan politik yang stabil, bersatu dan berprinsip dalam memastikan kesinambungan pembangunan negeri.
Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing berkata kekuatan GPS yang dianggotai empat komponen utama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), PDP dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), terbukti melalui kestabilan politik serta kemajuan Sarawak ketika ini.
Berucap pada Konvensyen GPS 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini beliau berkata pencapaian negeri ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kepimpinan konsisten, hala tuju jelas serta semangat kerjasama dalam kalangan parti komponen.
Ahli Parlimen Bintulu itu turut menegaskan bahawa asas kekuatan gabungan adalah persefahaman, konsensus serta perkongsian kuasa yang ikhlas antara parti-parti komponen.
Namun begitu, beliau mengakui wujud beberapa cabaran di peringkat akar umbi yang perlu diberi perhatian serius, khususnya melibatkan pelaksanaan dan proses pentadbiran di peringkat komuniti.
Katanya, setiap isu yang dibangkitkan rakyat perlu ditangani dengan pendekatan yang lebih telus dan konsisten bagi memastikan keyakinan terhadap sistem pentadbiran tidak terjejas.
Dalam masa sama, Datuk Seri Tiong menegaskan PDP tidak berhasrat mencetuskan konflik, sebaliknya mahu memperkukuh asas kerjasama dalam GPS dengan menegakkan prinsip keadilan dan keterbukaan.
Beliau turut menekankan keperluan memperbaiki penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi, khususnya berkaitan isu asas seperti bekalan air, banjir dan infrastruktur.
Jelasnya lagi, masih terdapat kawasan yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih, yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back