KUCHING - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak berjaya melumpuhkan satu aktiviti pengedaran dadah susulan penahanan seorang lelaki tempatan di sebuah kediaman di Kampung Malaysia Jaya, Petra Jaya, pada Khamis lalu (16 April).
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Polis Daerah Kuching, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 11.20 pagi pada 16 April itu, pasukan polis telah menahan suspek berusia 28 tahun.
Hasil pemeriksaan teliti di lokasi kejadian membawa kepada penemuan bahan terlarang dipercayai dadah jenis ganja seberat 464.00 gram.
Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM1,392.00 mengikut harga pasaran semasa.
Selain rampasan barang terlarang, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut mengesahkan lelaki berkenaan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).
Suspek kini diperintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 17 hingga 23 April 2026 bagi membantu siasatan lanjut.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah disaran menghubungi Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile ##PDRMSarawak #JSJNSarawak
Back