MIRI - Pihak Polis Daerah Miri berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam satu kes pecah masuk sebuah bistro di kawasan Marina, baru-baru ini.
Tangkapan tersebut dilakukan hasil maklumat awam oleh sepasukan anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Pusat Miri. Pasukan yang diketuai oleh ASP Goldy Anak Jangan itu berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek pada jam kira-kira 12.15 tengah hari di tepi Jalan Taman Wah Shin, Mosjaya, Miri.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai dicuri dari bistro berkenaan untuk dijadikan barang kes bagi tujuan siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan bahawa kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri.
"Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah harta benda dan akan terus mempergiatkan operasi serta pemantauan di kawasan tumpuan awam demi menjamin keselamatan masyarakat," tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PolisMiri #PDRMSarawak
Back