LUNDU - Pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Sileng kini menjadi keperluan mendesak bagi menampung pertumbuhan pesat populasi di kawasan berkenaan, khususnya melibatkan generasi kedua dan ketiga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, peningkatan jumlah penduduk yang ketara telah mewujudkan tekanan terhadap penempatan sedia ada, sekali gus menuntut perancangan pembangunan yang lebih tersusun.
Beliau menjelaskan bahawa lokasi cadangan bagi skim tersebut yang terletak berhampiran Perumahan RMR Taman Mawar adalah sangat strategik untuk memastikan keselesaan jangka masa panjang buat penduduk setempat.
"Pembangunan Skim Pembesaran Kampung Sileng amat diperlukan bagi menampung pertumbuhan ini serta memastikan keselesaan penduduk terus terpelihara seiring dengan perubahan landskap kampung sepanjang lima tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Kampung Sileng Melayu yang dihadiri kira-kira 400 penduduk, Jumaat malam , 17 April.
Selain isu penempatan, Azizul turut membawa khabar gembira mengenai masalah sistem perparitan di Taman RMR yang sekian lama membelenggu penduduk.
Beliau memaklumkan bahawa projek penyelesaian isu tersebut kini telah melalui proses tender.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #UKAS #TanjongDatu #Lundu #AzizulAnnuar
Back