MIRI - Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, meneruskan komitmen mendekati realiti perkhidmatan kesihatan di Sarawak menerusi Jelajah Kesihatan Borneo (JKB) Siri I dengan mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan (KK) Jalan Merbau, semalam (17 April).
Lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau secara mendalam pengoperasian fasiliti, kualiti penyampaian perkhidmatan, serta cabaran utama yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan di kawasan bandar raya Miri.
Dato Hajjah Hanifah menjelaskan bahawa pendekatan turun padang ini adalah platform terbaik bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melihat sendiri keadaan infrastruktur dan mendengar terus keluhan petugas.
"Melalui JKB, kementerian dapat memahami realiti sebenar di peringkat akar umbi. Ini membolehkan kita merangka perancangan yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi bagi memperkukuh sistem kesihatan di Sarawak," jelas beliau dalam hantaran di Facebook rasminya.
Dalam tinjauan terperinci tersebut, beliau turut memberi perhatian kepada aspek keselesaan pesakit dan kemudahan sedia ada yang perlu dinaiktaraf.
Dato Hanifah juga memberi jaminan bahawa KKM akan meneliti setiap isu yang dibangkitkan di KK Jalan Merbau bagi merangka langkah penyelesaian yang mampan.
Langkah ini adalah sebahagian daripada agenda besar KKM untuk memastikan rakyat, khususnya di kawasan utara Sarawak, terus menerima akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selesa selari dengan keperluan semasa.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #KKM #JelajahKesihatanBorneo #HanifahHajarTaib
Back