KUCHING - Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) secara rasminya menyertai komuniti global dalam memperingati Hari Pengangkutan Awam Sedunia yang julung kali diadakan, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat dalam memacu pembangunan mampan di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa, menyifatkan sambutan ini sebagai peringatan penting terhadap peranan kritikal pengangkutan awam dalam menghubungkan komuniti serta menyokong aspirasi ekonomi dan alam sekitar jangka panjang negeri.
Melalui projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), Sarawak Metro kini menerajui anjakan transformatif dalam mobiliti bandar dengan memperkenalkan kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) yang dikuasakan oleh tenaga hidrogen bersih.
"Matlamat kami bukan sekadar meningkatkan mobiliti, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak menerusi sistem pengangkutan moden yang cekap dan mesra alam," ujar Mazli dalam satu kenyataan media.
Beliau menambah, sebagai ahli Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP), Sarawak Metro terus komited dalam membina bandar yang boleh didiami dan sedia menghadapi cabaran masa hadapan melalui teknologi sifar emisi.
Untuk rekod, Hari Pengangkutan Awam Sedunia telah diumumkan oleh UITP pada Disember 2025 di New York sebagai sambutan tahunan global bagi menonjolkan bagaimana pengangkutan awam menghubungkan masyarakat kepada peluang pekerjaan, pendidikan, dan budaya.
Dengan keahlian merangkumi 2,000 ahli di 100 buah negara, UITP bertujuan membawa mesej kelestarian ini ke seluruh platform digital, stesen, dan rangkaian pengangkutan di seluruh dunia.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakMetro #KUTS #WorldPublicTransportDay #KuchingSmartCity
Back