KUCHING - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sarawak berjaya menahan 20 warga asing dalam satu operasi khas, Ops Selera, yang menyasarkan premis makanan dan minuman di sekitar bandaraya ini pada 16 April lalu.
Operasi yang digerakkan oleh Bahagian Penguatkuasa Kuching itu dilaksanakan susulan aduan awam mengenai kehadiran warga asing yang mencurigakan serta dipercayai bekerja tanpa dokumen yang sah.
Seramai 30 pegawai penguat kuasa telah dikerahkan ke beberapa lokasi strategik termasuk di City Square, Jalan Pending bagi membanteras aktiviti judi dalam talian di sebuah kedai makan, serta di Batu 8 bagi memastikan sebuah premis makanan laut mematuhi sepenuhnya undang-undang imigresen.
Hasil pemeriksaan rapi, JIM mendapati kebanyakan warga asing yang ditahan telah menyalahgunakan pas atau bekerja tanpa memiliki sebarang permit kerja yang sah.
Kesemua individu berkenaan kini ditahan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
Pihak JIM Sarawak menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan tanpa kompromi bagi memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti pendatang asing tanpa izin (PATI).
Sumber: fb Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #JIMSarawak #OpsSelera
Back