Kuching – Sarawak dipilih sebagai tuan rumah sambutan ulang tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun ini.
Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari berkata, sambutan kali ini dibahagikan kepada dua komponen utama, iaitu Kembara MADANI Bahasa dan Sastera dan Majlis Sambutan Ulang Tahun Rasmi.
Bertemakan “Restu Jiwa Pahlawan” daripada lirik lagu Dewan Bahasa, program KEMBARA dibahagikan kepada tiga kluster utama, iaitu Kluster Restu, Kluster Jiwa dan Kluster Pahlawan.
Setiap kluster membawa naratif, konsep, pengisian dan sasaran penglibatan yang tersendiri.
Program tersebut akan dilaksanakan melalui jelajah ke seluruh negeri yang disusun mengikut zon.
Sarawak merupakan destinasi keempat selepas Zon Tengah (Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang), Zon Utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) serta Zon Timur (Terengganu dan Kelantan).
Di Sarawak, program akan berlangsung di daerah Daro, Gedong dan Kuching bermula 15 hingga 22 Jun.
Pemilihan lokasi tersebut dibuat berdasarkan kaitannya dengan tokoh bahasa dan sastera yang terkenal di kawasan berkenaan.
Pelbagai aktiviti telah dirangka bagi setiap kluster di semua lokasi terlibat, bagi memperkukuh usaha DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu serta memperluas penggunaannya dalam kalangan masyarakat.
Daerah Kuching akan menjadi lokasi terakhir KEMBARA sebelum diteruskan dengan Majlis Sambutan Rasmi Ulang Tahun DBP ke-70 di Hotel Pullman, Kuching pada 22 Jun.
Majlis itu kelak dijangka disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back