Kuching – Penggunaan kayu kejuruteraan kini menjadi tumpuan baharu, dalam usaha mentransformasikan industri perkayuan Sarawak ke arah yang lebih inovatif dan bernilai tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendekatan itu mencerminkan hala tuju industri perkayuan negeri yang kini memberi fokus kepada pembangunan sektor hiliran.
Ia terutama dalam penghasilan produk berteknologi tinggi seperti kayu kejuruteraan dan perabot.
Menurut beliau, keberkesanannya dibuktikan melalui pembinaan semula Wisma Sumber Alam yang telah siap diubah suai.
Sebahagian komponen bangunan itu menggunakan bahan kayu kejuruteraan sebagai contoh aplikasi teknologi moden dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PUSAKA 2026 di Kuching, hari ini.
Dalam pada itu, industri juga meneroka potensi inovasi lain, termasuk memanfaatkan sisa kayu untuk dijadikan pelet bagi menyokong pembangunan tenaga berasaskan biodiversiti serta kelestarian alam sekitar.
Pada masa sama, kerajaan negeri turut membenarkan pengimportan jenis kayu tertentu dari luar negara berdasarkan permohonan.
Ia bagi memenuhi keperluan spesifikasi dan kualiti, sekali gus menambah nilai kepada produk tempatan.
Langkah itu dilihat mampu memperkukuh daya saing industri perkayuan Sarawak di peringkat global, selaras dengan penerapan teknologi baharu dalam penghasilan produk.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back