KUCHING - Kerajaan Sarawak sekali lagi tampil dengan langkah intervensi berani menerusi pemberian diskaun 25 peratus ke atas bil elektrik domestik bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat rantaian krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan inisiatif tersebut yang akan dilaksanakan selama sembilan bulan bermula April sehingga Disember 2026.
Langkah proaktif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 714,000 pengguna domestik di seluruh Bumi Kenyalang. Kerajaan Sarawak akan menanggung sepenuhnya kos peruntukan yang berjumlah RM188.1 juta demi memastikan kestabilan ekonomi isi rumah.
Selain bantuan domestik, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memantau rapat perkembangan di Asia Barat bagi melindungi sektor perniagaan dan ekonomi negeri daripada ancaman luar.
"Kita telah membuktikan semangat kental sewaktu mendepani krisis COVID-19 dahulu. Saya yakin, dengan perpaduan kukuh tanpa mengira kaum dan agama, Sarawak akan sekali lagi mampu mengatasi cabaran ekonomi global ini bersama-sama," katanya pada sidang media khas di Kuching hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat Sarawak agar terus bersatu padu dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik masa kini demi mengekalkan keharmonian dan kemakmuran negeri.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakKuSayang #AbangJohari #DiskaunElektrik
Back