KUCHING - Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) kini mencecah satu lagi pencapaian bersejarah apabila dua unit pertama kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) Sarawak dilaporkan berjaya melepasi ujian teknikal yang ketat di China.
Dikenali sebagai ‘tren emas’, aset pengangkutan awam moden ini kini bersedia untuk dihantar ke Sarawak dan dijangka tiba di pelabuhan Kuching pada suku kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa, baru-baru ini mengetuai pasukan teknikal ke fasiliti pengeluar di Yibin, China, bagi menjalankan pemeriksaan akhir.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan setiap unit memenuhi spesifikasi kualiti, tahap kesiapsiagaan keseluruhan, serta piawaian keselamatan antarabangsa sebelum memulakan pelayaran ke Bumi Kenyalang.
"Kami teruja untuk menyambut ketibaan 'tren emas' ini dan menantikan permulaan operasi perintis pada penghujung tahun nanti. Ini adalah langkah besar ke arah menyediakan sistem pengangkutan awam yang moden, cekap, dan mesra alam untuk rakyat Sarawak," jelas Mazli.
Setibanya di Kuching, kedua-dua unit kenderaan berkenaan akan melalui beberapa proses teknikal penting bermula dengan kerja pemasangan semula sambungan gerabak di Fasiliti Pemasangan ART Kuching (KAAF), diikuti siri ujian lanjut di Depot ART Rembus, Kota Samarahan bagi memastikan kelancaran operasi sebelum fasa operasi perintis dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini.
Pelaksanaan projek KUTS ini merupakan komitmen Sarawak Metro dalam merealisasikan sistem pengangkutan bandar yang mampan dan cekap, sekali gus mengubah landskap mobiliti di Kuching dan kawasan sekitarnya.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakMetro #ARTSarawak #KUTS
Back