SIBU - Seorang pengarah syarikat pembinaan warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM222,000 lesap selepas terperangkap dalam taktik licik sindiket penipuan lelongan barangan antik di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari bin Miskon, mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia lingkungan 70-an itu pada Selasa 14 April, selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Kronologi kejadian bermula pada 22 Mac lalu apabila mangsa melayari Facebook dan tertarik dengan satu akaun yang menawarkan perkhidmatan lelongan barangan antik.
Mangsa kemudiannya berhubung dengan dua individu melalui WhatsApp menggunakan nombor telefon luar negara.
Suspek menawarkan khidmat untuk melelong pasu antik milik mangsa dan mula meminta pelbagai bayaran bagi tujuan, antaranya bayaran pendahuluan lelongan, kos dokumentasi dan pengurusan serta caj pelepasan hasil jualan.
Bagi mengaburi mata mangsa, sindiket tersebut mengemukakan resit serta dokumen transaksi luar negara yang dipercayai palsu bagi menunjukkan kononnya proses lelongan sedang berjalan lancar.
Terpedaya dengan bukti tersebut, mangsa telah melakukan transaksi wang secara berperingkat ke beberapa akaun bank tempatan yang berbeza. Walau bagaimanapun, mangsa mula curiga apabila suspek terus-menerus meminta bayaran tambahan sebelum membuat laporan polis.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Pihak polis menasihatkan orang ramai, terutama golongan warga emas, agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran luar biasa di media sosial.
"Jangan sesekali membuat bayaran ke akaun pihak ketiga tanpa semakan teliti. Scammer sering menggunakan dokumen palsu dan nombor luar negara untuk membina kepercayaan mangsa," tegas ACP Azari dalam satu kenyataan hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMSibu #JSJK
Back