PADAWAN - Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan berjaya melumpuhkan aktiviti penyalahgunaan dadah susulan penahanan lima individu warga tempatan dalam operasi khas di sekitar Kota Sentosa dan Batu Kawa, Isnin petang 13 April.
Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada lelaki berusia dalam lingkungan 22 hingga 39 tahun.
Operasi yang menyasarkan kawasan tumpuan itu membuahkan hasil apabila polis berjaya memberkas dua suspek berusia 22 dan 29 tahun. Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua individu tersebut menemui ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
Susulan penemuan bahan terlarang itu, mereka kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah.
Tindakan agresif IPD Padawan tidak terhenti di situ. Ujian saringan awal air kencing telah dijalankan ke atas kesemua lima individu yang ditahan.
Hasil ujian mendapati kesemua suspek positif dadah, sekali gus membawa kepada siasatan tambahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: fb Polis IPD Padawan
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDPadawan #PDRMSarawak
Back