BINTANGOR - Ketegasan pihak polis dalam memerangi najis dadah di daerah Meradong membuahkan hasil apabila seorang lelaki tempatan berjaya ditahan dalam satu serbuan di Jalan Kelupu, Selasa petang (14 April).
Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 5.40 petang itu dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong di kaki lima sebuah rumah tidak bernombor di Batu 1.
Hasil pemeriksaan rapi di lokasi kejadian, polis menemui satu keratan tiub straw berwarna merah yang mengandungi ketulan kristal, disyaki dadah jenis Methamphetamine (Syabu).
Dadah tersebut ditemui disembunyikan di dalam sebuah beg sling yang diletakkan di atas alas meja tempat suspek ditahan.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering mengesahkan bahawa suspek yang berusia 23 tahun itu kemudiannya dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek menunjukkan keputusan positif bagi dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau yang turut berkaitan dengan kesalahan dadah," jelas DSP Tansli Mering dalam satu kenyataan media malam tadi.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDMeradong #PDRMSarawak
Back