KUCHING - Kegiatan licik sebuah kumpulan curi motosikal yang aktif sejak tahun lalu akhirnya tumpas apabila seorang lelaki berusia 23 tahun bersama empat rakan sejenayahnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Selasa 14 April atas tujuh pertuduhan berasingan.
Tertuduh didakwa melakukan siri kecurian motosikal di pelbagai lokasi sekitar daerah Kuching antara tahun 2025 hingga 1 April 2026.
Prosiding dijalankan secara berasingan di Mahkamah Majistret 1, 2, dan 3 Kuching mengikut rakan sejenayah yang terlibat bagi setiap kes. Salah satu pertuduhan turut melibatkan seorang suspek yang kini masih bebas dan sedang diburu pihak polis.
Bagi status pengakuan, tertuduh mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersama seorang rakan sejenayah dan dijatuhi hukuman penjara selama 14 bulan bermula tarikh hukuman, manakala bagi enam pertuduhan lain, tertuduh bersama tiga lagi rakan sejenayah bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah menawarkan jaminan, namun kesemua tertuduh gagal membayar jumlah tersebut.
Mereka kini dihantar ke Penjara Puncak Borneo untuk menjalani hukuman sedia ada serta tahanan reman sehingga tarikh sebutan semula kes.
Sumber: fb Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back