KUCHING - Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi menzahirkan ucapan Selamat Hari Vaisakhi kepada seluruh komuniti Sikh, khususnya di Sarawak.
Dalam perutusan beliau, Tun Wan Junaidi menyifatkan perayaan Vaisakhi sebagai simbol nilai murni seperti keikhlasan, keberanian, dan kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
TYT Tun turut merakamkan penghargaan yang mendalam terhadap peranan aktif yang dimainkan oleh komuniti Sikh dalam memacu pembangunan Sarawak.
"Sumbangan komuniti Sikh dalam pelbagai bidang bukan sahaja telah memperkukuh perpaduan, malah memperkayakan lagi landskap sosial yang menjadi kebanggaan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Astana Negeri hari ini.
Beliau berharap sambutan pada tahun ini menjadi pemangkin kepada hubungan kekeluargaan yang lebih erat serta persahabatan yang teguh dalam kalangan rakyat.
Tun turut mendoakan agar tahun baharu dalam kalendar Sikh ini membawa kegembiraan dan keberkatan berpanjangan kepada semua yang menyambutnya.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #Vaisakhi2026 #TunWanJunaidi #SegulaiSejalai
Back