KUCHING - Pihak Diocese of Kuching menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri yang bertanggungjawab bagi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, atas keprihatinan beliau terhadap sensitiviti penganut Kristian di bandar raya ini.
Penghargaan tersebut disampaikan secara peribadi oleh Bishop Datuk Danald Jute, yang diiringi oleh Dean Kho dan Setiausaha Diocese, Revd. Johnson, dalam satu kunjungan hormat kepada Datuk Dr Abdul Rahman, pada Isnin 13 April.
Kunjungan tersebut bertujuan merakamkan ucapan terima kasih atas tindakan segera Datuk Dr Abdul Rahman dalam menangguhkan acara 'Car Free Morning' yang sebelum ini dijadualkan berlangsung serentak dengan sambutan Hari Paskah (Easter Sunday).
Keputusan tersebut telah memastikan suasana ibadat yang tenang dan aman bagi penganut yang menghadiri gereja di kawasan terlibat, sekali gus membuktikan tahap persefahaman yang tinggi dalam menghormati amalan keagamaan di Sarawak.
Selain isu penangguhan acara, pertemuan tersebut turut menjadi platform perbincangan mengenai pelbagai inisiatif antara agama. Antara fokus utama perbincangan adalah untuk mencari ruang kerjasama baharu dalam memperkukuh perpaduan, memastikan Sarawak terus menjadi model keharmonian kaum dan agama di Malaysia dan mengeratkan hubungan antara institusi agama dan pihak berkuasa tempatan.
Sikap keterbukaan dan saling menghormati yang ditunjukkan ini merupakan cerminan semangat "Segulai Sejalai" yang menjadi teras keamanan di Bumi Kenyalang.
Sumber: fb Diocese of Kuching
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakHarmoni #DBKU
Back