KOTA SAMARAHAN - Kerajaan Persekutuan menganggarkan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion diperlukan bagi melaksanakan dua projek mega Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di bandaraya Kuching sebagai penyelesaian jangka panjang.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan projek tersebut melibatkan RTB Bandaraya Kuching Fasa 2 dan RTB Sungai Samariang.
Menurut beliau, cadangan asal hanya melibatkan Fasa 2 RTB Kuching, namun atas permintaan Kerajaan Sarawak, projek RTB Samariang turut dimasukkan bagi memastikan pengurusan aliran air yang lebih sistematik.
"Sekiranya diluluskan Jemaah Menteri kelak, kos RM2.6 bilion ini akan memastikan kawasan Samariang tidak terjejas dengan limpahan air dari bandar raya, memandangkan kedua-duanya berada dalam sistem saliran yang saling berkaitan," ujar beliau pada sidang media Program PETRA Skuad 2026 Zon Sarawak di Kuching pada Isnin 13 April.
Dalam perkembangan sama, projek PLSB Sungai Sarawak bernilai RM191 juta kini giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2027. Projek ini merangkumi, kerja-kerja di RTB Sungai Gersik dan RTB Sungai Sinjan, projek mendalamkan sungai di kawasan Matang dan memberi perlindungan banjir kepada lebih 22,000 penduduk setempat.
Datuk Seri Fadillah turut menyentuh status pembangunan di bahagian lain:
1. RTB Sibu Fasa 3: Bernilai RM97.2 juta telah siap sepenuhnya (Disember 2023) dan diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Sarawak semalam.
2. RTB Sibu Fasa 4 & 5: Permohonan peruntukan akan dibuat melalui kerajaan negeri (Fasa 4 - RM120 juta) dan Persekutuan (Fasa 5 - RM474 juta).
3. RTB Stakan: Projek bernilai RM10 juta bagi mengatasi banjir kilat di sempadan Kuching-Samarahan telah diserahkan sepenuhnya setelah siap pada Ogos 2024.
Katanya, komitmen berterusan kementerian melalui PETRA Skuad ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan infrastruktur pengurusan air di Sarawak sentiasa dinaik taraf demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PETRA #RTB #Kuching #TebatanBanjir
Back