KUCHING - Kerajaan memperkasakan penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan bahan api bersubsidi menerusi penempatan sementara anggota polis di 151 stesen minyak yang dikenal pasti berisiko tinggi di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah strategik ini membolehkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberikan tumpuan penuh kepada lokasi berisiko lain yang sering menjadi tumpuan sindiket penyeludupan.
Daripada jumlah keseluruhan stesen minyak yang terlibat, sebanyak 87 stesen terletak di kawasan sempadan negara. Manakala 64 buah lagi dikategorikan sebagai berisiko tinggi berdasarkan rekod lonjakan jualan yang mencurigakan serta penglibatan kenderaan asing dan tangki yang diubah suai.
"Di Sarawak sahaja, sebanyak 22 stesen minyak di kawasan sempadan seperti Limbang, Lubok Antu dan Lundu akan dipantau secara rapi oleh pihak polis melalui operasi bersepadu bagi memastikan subsidi rakyat tidak terus tiris ke luar," tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) peringkat negeri di Kuching semalam (13 April).
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mendedahkan keberkesanan Ops Tiris 4.0 yang bermula sejak 16 Mac lalu. Sehingga kini, sebanyak 13,759 pemeriksaan telah dijalankan.
Dalam sidang media yang sama, Fadillah menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong inisiatif ‘KITA GEMPUR’. Inisiatif ini merupakan satu gerakan massa yang dibina kerajaan untuk membanteras manipulasi barang kawalan dan bersubsidi secara habis-habisan demi melindungi kedaulatan ekonomi negara.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back