SERIAN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan merangka langkah terbaik bagi menangani isu fasiliti di Klinik Kesihatan (KK) Teng Bukap demi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti buat penduduk setempat.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, pada Isnin 13 April mengadakan lawatan kerja ke kawasan tersebut bagi meninjau sendiri keadaan semasa serta keperluan mendesak institusi berkenaan.
Lawatan ini turut disertai oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, serta Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie anak Mongin.
Dalam rangka lawatan tersebut, Dato Hajjah Hanifah telah meninjau lokasi asal KK Teng Bukap yang terpaksa ditamatkan operasinya sebelum ini atas faktor keselamatan.
Satu taklimat terperinci telah disampaikan kepada beliau mengenai pengoperasian semasa di lokasi sementara, termasuk cabaran logistik dan teknikal yang dihadapi dalam memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.
"KKM akan meneliti dan merangka perancangan terbaik bagi menangani isu lokasi serta cabaran yang dihadapi KK Teng Bukap. Fokus utama kita adalah untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti serta keselesaan dapat terus dinikmati oleh masyarakat di sini," tegas beliau.
Penyelesaian jangka panjang bagi isu KK Teng Bukap ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan untuk menaik taraf kemudahan kesihatan luar bandar di Sarawak, selaras dengan aspirasi memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada akses perubatan moden.
Sumber: fb Hanifah Hajar Taib
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back