KUCHING - Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha, bagi meningkatkan keupayaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha tersebut memberi tumpuan kepada pendaftaran rasmi, pengumpulan data serta peningkatan kapasiti perniagaan.
Beliau menyifatkan PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara, memandangkan sumbangan besar sektor itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta peluang pekerjaan.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat sebilangan PKS yang berskala kecil dan belum berdaftar secara rasmi.
Keadaan ini mendorong pelaksanaan pelbagai program pendaftaran bagi memastikan lebih banyak perusahaan kecil didaftarkan secara rasmi.
Langkah ini juga membolehkan kerajaan memperoleh data yang lebih lengkap dan tepat untuk merangka bantuan serta sokongan yang lebih bersasar kepada golongan usahawan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Teraju Aspirasi Outreach Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa sebanyak lapan syarikat telah dikenal pasti berpotensi untuk disenaraikan di pasaran saham negara.
Sehubungan itu, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya satu syarikat berjaya disenaraikan sebelum hujung tahun ini.
Usaha ini dijangka memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan serta membuka lebih banyak peluang pertumbuhan kepada syarikat Bumiputera untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back