KUCHING – Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan negara, didorong oleh dasar tenaga boleh baharu yang jelas dalam menyokong kelebihan daya saing negeri itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tumpuan berterusan terhadap sektor berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan.
Ia termasuk sama ada pelaburan langsung asing (FDI) mahupun pelaburan domestik (DDI).
Menurut beliau, kekuatan Sarawak dalam sumber tenaga boleh baharu seperti hidro, solar dan biojisim, memberi kelebihan dalam menarik pelaburan berteknologi tinggi serta bernilai tambah.
Keadaan itu sekali gus berpotensi memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pusat pelaburan penting, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa, penglibatan syarikat tempatan khususnya dalam industri sokongan, amat penting bagi memastikan manfaat pelaburan dapat dinikmati secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, selepas merasmikan Majlis Teraju Aspirasi Outreach Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back