KUCHING – Tempoh kurang seminggu menjelang aksi penting menentang Selangor FC Sabtu ini, menjadi fasa kritikal buat Kuching City FC (KCFC) dalam menentukan barisan terbaik yang akan diturunkan.
Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak berkata, pasukan masih mempunyai masa untuk menilai prestasi pemain, sebelum membuat keputusan muktamad mengenai kesebelasan utama.
Menurutnya, setiap pemain diberi peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing, namun hanya mereka yang benar-benar menyerlah dalam latihan akan dipilih.
Bagaimanapun, katanya, faktor luar seperti kecederaan atau masalah kesihatan boleh berlaku pada bila-bila masa, justeru setiap pemain perlu sentiasa bersedia apabila dipanggil untuk beraksi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang PDRM FC di Kuching, malam tadi.
Mengulas lanjut, Aidil berkata keputusan positif serta persembahan meyakinkan anak buahnya pada aksi tersebut memberi keyakinan kepada pasukan untuk terus memperhalusi kombinasi terbaik bagi memastikan mereka tampil kompetitif dalam perlawanan penting itu.
Sementara itu, mengenai persiapan menghadapi Selangor FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini, beliau menegaskan pasukan perlu bersedia dalam semua aspek.
Katanya, persiapan itu termasuk menghadapi kemungkinan penentuan sepakan penalti sekiranya perlawanan berakhir dengan keputusan seri.
Beliau turut menegaskan peluang beraksi dalam perlawanan besar seperti itu tidak datang selalu, lebih-lebih lagi ia merupakan kali pertama pasukannya mara ke peringkat tersebut.
Sehubungan itu, beliau menuntut komitmen dan kesungguhan tinggi daripada setiap pemain, khususnya apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri kelak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back