KUCHING – Penganjuran Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor tahun ini tetap diteruskan, meskipun berdepan peningkatan kos, khususnya melibatkan perbelanjaan perjalanan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah kawalan perbelanjaan akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran temasya berkenaan.
Menurut beliau, Sarawak akan menyesuaikan pengurusan bajet, penginapan dan logistik tanpa menjejaskan persiapan kontinjen negeri.
Antara langkah dipertimbangkan termasuk penggunaan penerbangan sewaan melalui AirBorneo serta pemilihan hotel bajet bagi mengurangkan kos keseluruhan.
Matlamatnya adalah untuk memastikan Sarawak kekal sebagai kuasa besar dalam arena sukan negara.
Beliau berkata demikian dalam sidang media, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Sarawak Bil 1 2026, di Kuching, hari ini.
Sementara itu, mengulas lanjut berhubung persiapan kontinjen, beliau berkata ia kini sedang giat dilaksanakan, termasuk penyertaan beberapa sukan yang berlatih di luar negara.
Selain itu, pengumuman Chef de Mission (CDM) kontinjen Sarawak pula dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Back