Kuching – Keunikan aroma Kek Lapis Sarawak bukan sekadar memikat selera, malah kini diterjemahkan dalam bentuk wangian oleh pengusaha produk minyak wangi tempatan, LAB 13.
Pengasas produk, Kho Jack berkata, LAB 13 berhasrat memperkenalkan identiti negeri ini melalui pendekatan berbeza, iaitu menerusi aroma wangian yang diilhamkan daripada elemen tempatan.
Menurutnya, idea menghasilkan minyak wangi berinspirasikan Kek Lapis itu tercetus apabila beliau mendapati kek tradisional itu sentiasa menjadi pilihan utama penduduk tempatan ketika musim perayaan, selain menjadi buah tangan popular dalam kalangan pelancong ke Sarawak.
“Kek Lapis Sarawak ini seakan-akan simbol negeri. Jadi saya fikir, kenapa tidak kita hasilkan sesuatu yang boleh mewakili Sarawak dalam bentuk lain, iaitu wangian,” katanya.
Berlatarbelakangkan jurusan kimia dan kini sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang antropologi perubatan, Jack memanfaatkan kepakarannya untuk mengekstrak bahan-bahan tempatan bagi menghasilkan aroma yang unik.
Wangian Kek Lapis itu dihasilkan daripada gabungan pandan dan vanila, dengan sebahagian bahan turut diperoleh daripada sumber tempatan.
Beliau mengakui proses menghasilkan sesuatu wangian bukanlah mudah.
Ia mengambil masa antara dua hingga tiga bulan, bermula daripada pemilihan bahan, proses formulasi sehinggalah ke peringkat ujian pengguna.
Katanya, maklum balas pelanggan menjadi faktor utama yang perlu diambil kira sebelum sesuatu produk dilancarkan ke pasaran.
“Jika pelanggan menyukainya, barulah kami akan mengeluarkan produk tersebut. Jika tidak, kami akan memperbaiki semula formulasi sehingga mencapai kehendak mereka,” ujarnya.
Mengambil inspirasi daripada jenama antarabangsa seperti ‘Le Labo’ yang terkenal dengan konsep wangian berasaskan lokasi dan memori, beliau menggabungkan idea tersebut dengan elemen budaya tempatan bagi menghasilkan produk yang lebih dekat dengan pengguna.
Setakat ini, LAB 13 telah menghasilkan 12 jenis wangian yang diinspirasikan daripada lokasi dan elemen di Sarawak seperti Kuching, Damai, Waterfront dan Kek Lapis.
Antara wangian yang mendapat sambutan luar negara termasuk Damai dan Kuching, manakala pelanggan tempatan pula lebih cenderung memilih wangian Kek Lapis.
Walaupun masih di peringkat awal, produk wangian Kek Lapis telah mencatat jualan sekitar 200 botol dan kini giat dipasarkan melalui platform dalam talian, selaras dengan perubahan trend pembelian pengguna.
Mengulas lanjut, beliau berkata produk wangian berbeza daripada kosmetik lain kerana ia mampu memberi kesan segera terhadap emosi dan memori seseorang.
“Sehubungan itu, matlamat saya adalah untuk menjadikan wangian ini sebagai satu bentuk memori tentang Sarawak. Setiap kali orang menggunakannya, mereka akan teringat pengalaman berada di sini,” katanya.
Beliau turut optimis usaha ini mampu memperkukuhkan imej Sarawak di mata dunia, apatah lagi apabila produk tersebut telah mula menembusi pasaran antarabangsa termasuk Jepun, Korea, Brunei dan Indonesia.
Dalam perancangan masa depan, LAB 13 akan terus memberi fokus kepada produk utama seperti wangian Kek Lapis sebelum memperkenalkan variasi baharu, bagi memastikan identiti jenama kekal jelas dan mudah diingati.
“Matlamat saya mudah, saya mahu dunia tahu bahawa Sarawak juga mempunyai identiti wangian yang unik dan berkualiti,” tambahnya.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back