KUCHING - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak menasihati orang awam di seluruh negeri agar tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran pihak berkuasa, terutamanya ketika musim panas dan cuaca kering yang meningkatkan risiko jerebu dan kebakaran tidak terkawal.
Pembakaran terbuka termasuk sisa pertanian, semak samun, sampah domestik atau buangan binaan, pembakaran di tapak pelupusan, tanah gambut, atau pembakaran terkawal tanpa kelulusan bertulis.
Aktiviti ini boleh menjejaskan kesihatan awam (asma, bronkitis, masalah pernafasan dan jantung, masalah mata dan tekak) serta alam sekitar (pencemaran udara, jerebu, kemerosotan tanah dan air, kerosakan flora & fauna, pelepasan gas rumah hijau).
Mana-mana individu yang melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran boleh dikenakan denda RM25,000 hingga RM1 juta, penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (pindaan 2024), serta denda tambahan hingga RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan.
JAS Sarawak turut menjemput orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari, melalui e-mel di aduan_k@doe.gov.my, atau menggunakan portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
Sumber: Jabatan Alam Sekitar Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back