Ipoh – Sekolah dibenarkan untuk tidak beroperasi sekiranya cuaca panas melebihi suhu 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, semasa ditemui media selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng, Perak, hari ini.
Menurut beliau, ketetapan tersebut selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2023, dan boleh dilaksanakan sekiranya keadaan cuaca panas serta kering semakin meruncing.
Beliau berkata, keadaan cuaca tersebut merupakan satu cabaran kepada KPM dalam memastikan keselesaan serta kesihatan murid.
Selain itu, beliau memaklumkan semua aktiviti luar di sekolah juga perlu dihentikan sementara sekiranya suhu berada pada tahap antara 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tempoh sama.
KPM juga turut mengingatkan semua pentadbir sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah supaya sentiasa memantau status suhu harian di sekolah serta daerah masing-masing sepanjang tempoh cuaca panas.
Sumber & Foto: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back