Putrajaya – Golongan majikan diseru untuk melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
Pelaksanaan AKF dilihat penting sebagai langkah memperkukuh daya tahan organisasi serta mengurangkan impak peningkatan kos tenaga.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi kenyataan hari ini menggalakkan majikan sektor swasta, untuk menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing berdasarkan keperluan operasi.
Pelaksanaan tersebut boleh merangkumi pendekatan bekerja dari rumah (BDR), waktu kerja anjal, penggiliran kerja serta model kerja hibrid.
Menurut KESUMA, pendekatan itu bukan sahaja mampu mengoptimumkan penggunaan sumber, malah menyokong kesejahteraan pekerja melalui keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik.
Dalam konteks peningkatan kos tenaga susulan konflik di rantau Asia Barat serta kebergantungan kepada pergerakan harian pekerja, pelaksanaan AKF dilihat mampu memberikan manfaat menyeluruh kepada majikan dan pekerja.
Saranan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam yang menggesa sektor swasta mempertimbangkan pelaksanaan BDR.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back