KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia kekal stabil walaupun berdepan ketidaktentuan susulan krisis di Asia Barat.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, menegaskan kerajaan telah mengambil langkah fiskal proaktif bagi memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika krisis tersebut berpanjangan.
Beliau berkata antara langkah penting yang dilaksanakan termasuk penjimatan perbelanjaan kerajaan serta pengekalan subsidi bahan api, khususnya petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI, yang masih dikekalkan pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak global meningkat.
Menurutnya, subsidi berkenaan membuktikan komitmen kerajaan dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Tambah beliau, kerajaan setakat ini telah mengadakan dua mesyuarat Jemaah Menteri bagi membincangkan persiapan menghadapi kesan krisis tersebut, manakala setiap kementerian turut diarahkan membuat persediaan awal agar tindakan segera dapat diambil jika keadaan bertambah serius.
Menurut Tengku Zafrul, asas ekonomi negara juga semakin kukuh hasil usaha pengukuhan ekonomi sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, selain pengalaman kerajaan mengekalkan subsidi ketika lonjakan harga minyak dunia pada 2022.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan situasi semasa sehingga boleh mengelirukan rakyat, sambil menegaskan Malaysia berada dalam keadaan lebih bersedia berbanding banyak negara lain untuk menghadapi cabaran global ketika ini.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back