Lundu – Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, malam tadi menghadiri Majlis Bersungkei serta Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Pehin Sri Haji Adenan Satem, Lundu.
Majlis tersebut melibatkan penyertaan warga PDRM daripada tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), iaitu IPD Lundu, IPD Padawan dan IPD Bau.
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak bersama barisan pimpinan tertinggi PDRM Kontinjen Sarawak serta pegawai kanan dari IPD yang terlibat.
Dalam majlis berkenaan, Datuk Mohamad Zainal turut menyempurnakan penyampaian Pek Sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf dan balu warga PDRM.
Selain itu, turut disampaikan cek khairat kematian Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial kepada warga IPD Lundu yang kehilangan ahli keluarga, serta sumbangan kebajikan kepada anak-anak istimewa dalam kalangan keluarga warga IPD Lundu.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara berbuka puasa secara berjemaah sebelum para hadirin menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.
Program diakhiri dengan jamuan moreh bersama para hadirin serta qariah setempat.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back