KUCHING – Kawasan Batu Kawa dijangka mengalami pengurangan risiko banjir secara signifikan selepas beberapa projek tebatan banjir bernilai lebih RM200 juta sedang dan telah dilaksanakan bagi melindungi ribuan penduduk di kawasan tersebut.
Timbalan Premier Sarawak merangkap ADUN Batu Kawa, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, menjelaskan terdapat empat projek utama, termasuk sistem perparitan, pembinaan kolam takungan kering seluas 16 ekar, benteng sepanjang tiga kilometer, serta pemasangan pam air untuk menampung lebihan air semasa hujan lebat. Projek ini dijangka memberi manfaat terus kepada kira-kira 4,000 penduduk.
“Di kawasan Desa Wira, fasa pertama projek bernilai RM20 juta telah siap manakala fasa terakhir bernilai RM36 juta sedang dilaksanakan. Pendekatan pengurusan banjir kini lebih komprehensif kerana jumlah air hujan semakin besar dan kolam takungan menjadi elemen penting untuk mengekang limpahan sungai,” kata Dr. Sim kepada media selepas lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Stapok (PPS) pada Rabu 11 Mac.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof
Tambahnya, kerajaan Persekutuan turut meluluskan projek RM2.4 bilion saluran pintasan Sungai Sarawak, yang akan mengalihkan kira-kira 60% aliran air sungai bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar termasuk Batu Kawa.
Dr. Sim optimis bahawa apabila semua projek tebatan ini siap sepenuhnya, masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk Batu Kawa dapat diselesaikan secara menyeluruh, memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terpelihara.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back